...syukran...

Sunday 18 September 2011

Dialog Malam Pertama~




Di malam yang hening, merupakan malam pertama bagi sepasang suami isteri ini, malam penentuan pertarungan hak dan batil. Malam yang dinanti-nantikan oleh sepasang mempelai yang baru hangat diraikan dalam majlis kenduri tengahari tadi. Alam bagaikan mengerti, hujan rintik-rintik dan sejuk yang nyaman di perkampungan seperti ingin membasahkan kehangatan suami isteri malam ini.
Suatu yang mengesankan ialah inilah kali pertama mereka bersua muka, menatap wajah pasangan dengan lebih dekat, menyentuh kulit mulus isteri yang dicintai dan inilah debaran malam pertama bagi mereka. Sebelum ini , mereka tidak pernah sedekat ini, jika adapun bertemu di hadapan keluarga masing-masing, jika ada pun bertemu bersama kawan-kawan. Tidak pernah mereka berjalan beriringan, tidak pernah mereka menjangka bahawa satu perkenalan, satu masa yang singkat terus membawa kepada jinjang pelamin. Alam pernikahan yang begitu asing bagi mereka.
Malam semakin larut, si suami membasahkan tubuhnya menyucikan diri. “Aneh” bisik isterinya. Di malam-malam begini yang dingin mengapa perlu membasahkan tubuh? Lebih aneh selepas itu suaminya masuk ke bilik belakang yang kosong agak lama sehingga memaksa isterinya mengintip di celahan pintu bilik itu. Alangkah terkejutnya, suaminya seakan mati, kaku dengan gerakan sujud dan terdengar esakan kecil umpama merintih.
Dia tahu apa yang dilakukan oleh suaminya dan dia akur. Itulah cinta suaminya yang sejati. Dia tidak perlu cemburu dengan cinta itu dan dia pernah berfikir walaupun segunung cintanya pada suaminya, tidak akan sama dengan cinta suaminya di bilik kosong itu. Dia menunggu, bertelekung di atas taburan bunga mawar di atas katil empuk itu. Si suami keluar dan memandang tepat ke arah isterinya, isterinya menunduk malu.
Isteri : Mengapa awak pilih saya?
Suami : Kerana awak berniqab (memakai purdah).
Isteri : Ramai kan yang berniqab?
Suami : Kerana awak ada agama.
Isteri : Ramai kan yang ada agama?
Suami : Kerana awak adalah jodoh ketentuan dari Allah S.W.T.
Isteri kehabisan soalan, dia tahu jawapan itu tidak ada persoalan lagi.
Suami : Saya jumpa awak yang saya nampak hanya 2 biji mata, saya tak tahu wajah awak dan selepas itu saya terus tidak melihat wajah awak, tetapi saya melihat di rumah awak, di hadapan ibu bapa awak. Ketika mereka menyaksikan hasrat saya untuk memiliki awak dan ketika awak membuka niqab, saya tidak perlu tahu selanjutnya wajah awak kerana itu bukan tujuan utama saya memiliki awak.
Isteri : Saya tidak cantik…
Suami : Lebih baik beristerikan perempuan yang berkulit hitam, berbibir tebal tetapi mempunyai Agama dalam dirinya adalah nikmat yang paling cantik daripada memiliki isteri yang berkulit mulus, tetapi tiada agama dalam dirinya. Tetapi jika cantik dan ada agama itu adalah anugerah Allah kepada saya. Tetapi adakah perempuan sedar, mereka yang menampakkan kecantikan yang haram didedahkan tetapi akhirnya mereka adalah bahan bakar di neraka kelak. Wana’uzubillah.
Isteri : Saya juga ingin cantik…
Suami : Sayang, kecantikan awak takkan kekal. Awak akan dimakan usia. Tetapi mahukah awak kekal cantik selamanya?
Isteri: Itu yang saya mahukan…
Suami : Mahukah awak menjadi secantik bidadari, malah lebih dari itu?
Isteri: Perempuan di dunia ini sehabisnya menyolek diri mereka umpama bidadari tetapi adakah mereka berjaya?
Suami : Ada caranya, malah tidak perlu berhabis ribuan ringgit!
Isteri: Yakah?, tunjukkan caranya!
Suami : Rasulullah pernah bersabda, “Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin.”
Isteri : Saya kurang faham, di mana alat-alat mekapnya?
Suami : Rasulullah pernah bersabda, “Jika perempuan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan masuk syurga.” (HR. Al-Bazaar).
Isteri : Bagaimana cantiknya saya di dalam syurga nanti?
Suami : Tolong ambilkan Al-Quran atas meja tu dan Tafsir Ibnu Kathir yang kawan awak hadiahkan tu. Awak ada wudukkah?
Isteri : Ada. Nanti sekejap.
Suami : Lihat Surah Al-Waqiah, “Sesungguhnya kami akan ciptakan mereka secara langsung.” (ayat 35 ), Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa wanita baik mereka itu tua atau tidak mereka akan dibangkitkan dengan ciptaan yang baru. Dalam keadaan mereka itu muda dan perawan. Ini dikuatkan lagi dengan ayat yang berikutnya “Dan Kami jadikan mereka itu gadis perawan” (ayat 36).
Isteri : Saya belum dapat bayangkan macam mana cantiknya saya nanti.
Suami : Dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman lagi “(Tentang wanita) penuh cinta (kepada suami mereka) lagi sebaya umur” (ayat 37). Dalam Ayat ini, Allah menerangkan mereka ini (wanita) terlalu asyik mereka hanya kepada suami mereka sahaja manakala suami mereka juga asyik kepada mereka. Cinta mereka hanya kepada suami mereka sahaja (Tafsiran Ibn Abbas).
Isteri : Sahih tu bang, tapi saya nak bayangkan macam mana cantiknya saya dalam syurga nanti.
Suami: Baiklah, tunggu sekejap saya ambil kitab hadith, lihat ini ada Riwayat dari Hadis Tabhrani, sambungan dari yang zahir lebih baik dari yang batin yang saya ceritakan tadi, ingatkah?
Isteri : Oh! ada, saya ingat.
Suami : Maka bertanya lagi Ummu Salamah: Dengan apa yang menyebabkan mereka lebih baik, Baginda pun bersabda: dengan solat mereka, puasa mereka dan ibadat mereka kerana Allah. Malah Allah memakaikan pada muka mereka cahaya, pada badan mereka sutera, kulit mereka berwarna putih, pakaian mereka berwarna hijau, malah mereka dipakaikan dengan perhiasan berwarna kuning (yakni emas) rantai mereka daripada permata, sikat mereka daripada emas. Lalu mereka berkata: Kami kekal (di dalam syurga) dan kami tidak akan mati lagi, kami memperolehi nikmat dan kami tak akan bersedih lagi, kami akan kekal di dalam syurga dan kami tidak akan berpindah, kami adalah orang yang redha dan kami tidak akan marah, beruntunglah sesiapa yang kami (dijadikan) untuknya dan (dijadikan) dia untuk kami. Lalu Ummu Salamah bertanya lagi: Wahai Rasullallah, ada di kalangan kami yang berkahwin dengan dua orang lelaki, atau tiga orang lelaki atau empat orang lelaki (bukan dikumpulkan sekali tetapi merupakan perkahwinan yang kedua selepas kematian, cerai atau lainnya), kemudian perempuan itu mati dan dapat masuk kedalam syurga begitu juga bekas-bekas suaminya juga masuk syurga, maka siapa yang akan menjadi suaminya (di dalam Syurga)? Baginda menjawab: Dia akan memilih yang terbaik di kalangan mereka dari segi akhlak. Nah! Hadith ini dengan jelas menampakkan kelebihan orang wanita daripada bidadari.
Isteri : Alhamdulillah, baru saya faham. Maksudnya jika saya berjaya menjadi wanita solehah dengan ciri-ciri dari firman Allah dan hadith, maka saya akan masuk syurga dan menjadi lebih cantik dari bidadari!
Suami : Wanita yang merupakan ahli syurga juga mendapat nikmat yang tak ternilai banyaknya. Dan nikmat yang diperolehi oleh wanita atau lelaki di dalam syurga adalah sesuai dengan fitrah kejadian kejadian mereka. Cubalah kita renungi baik awak atau pun saya, apakah yang amat dihajati oleh kita dan sekiranya kita diberi peluang nescaya kita akan mendapatkannya? Pada pandangan saya, orang lelaki lebih berhajat kepada wanita manakala wanita pula di samping berhajat kepada suami, akan tetapi kecantikan dan kejelitaan lebih menjadi tumpuan pada mereka. Bukankah semua ini terdapat di dalam syurga?
Isteri : Saya tahu sedikit dari ilmu yang saya kutip, tetapi ada yang saya lupa, eloklah saya mendengar sendiri dari suami saya!
Suami : Ya. Saya juga muzakarah dengan awak, lagi satu, bidadari syurga yang bukan dari kalangan isteri saya akan memarahi awak juga!
Isteri : Hah! Bidadari marah saya? Kenapa? Macam mana awak tahu?
Suami : Buka kitab hadis tadi, baca “Janganlah seorang perempuan menyakiti suaminya di dunia, jika tidak, maka bidadari-bidadari isterinya di syurga akan berkata kepadanya: Janganlah kamu menyakitinya, sesungguhnya ia adalah tamu bagimu yang sebentar lagi akan meninggalkanmu untuk berkumpul bersama kami.” (H.R. Ahmad dan Tirmidzi dari Mu’adz bin Jabal r.a)
Isteri : Wah! Saya amat takut jika awak meninggalkan saya di dunia lebih menyedihkan jika saya tidak dapat berjumpa awak di syurga!
Suami : “Harta yang utama adalah lisan yang senantiasa berzikir, hati yang senantiasa bersyukur dan isteri beriman yang membantu suami dalam menegakkan bangunan imannya.” (H.R. Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Isteri : Alhamdulillah! Baru saya faham sejelasnya, terima kasih abang. Tetapi itukan banyak persoalan tentang saya, bagaimana saya dalam keluarga yang taat kepada perintah Allah, yang menghidupkan sunnah Rasulullah dan akan mendapat nikmat syurga. Bagaimana dengan diri abang?
Suami : Oh itu masa tidak mengizinkan, biarlah kita berbicara satu bab dengan teliti. InsyaAllah esok malam kedua kita bicarakan soal itu ya.

Tuesday 13 September 2011

Cinta kerana SYAITAN !!!wallahu'alam

Tersebutlah kisah, seorang “lelaki A” datang berjumpa dengan seorang perempuan. Perempuan ini adalah yang paling ‘hot’ di kampusnya, kerana memiliki rupa paras yang cantik dan menawan.
Sifat pada perempuan ni yang paling orang suka adalah kerana dia ni seksi dan berada.
Nak dipendekkan cerita, kita lihat dialog yang berlaku antara lelaki A dan perempuan tersebut. Tapi sebelum tu, biar aku bagi tau korang ciri-ciri lelaki A tu.
Lelaki A merupakan anak seorang Dato’ yang sememangnya kaya, kacak dan bergaya. Nak pergi kampus pon pakai kereta mewah, kemudian ada driver pula. Awek mana tengok mesti melopong biji mata.
Alice : Apasal awak datang nak jumpa saya?
Lelaki A : Saya dah jatuh cinta kat awak.
Alice : (memandang lelaki itu dengan sinis) sebab?
Lelaki A : Kerana awak cantik. Sesiapa yang memandang awak sekilas pasti tak puas. Sudikah awak jadi gf saya?
Alice : Tapi..
Lelaki A : Jangan risau Alice. Saya ada segala-galanya. Harta..kebahagiaan..dan apa je awak mintak, saya boleh bagi.
Alice : Maafkan saya, saya ada kuliah. (perempuan itu sengaja membuat dalih)
Seminggu kemudian, perempuan ‘hot’ ni didatangi seorang lelaki lagi, kita namakan lelaki ni “lelaki B”. Penampilan lelaki B ni agak islamik.
Pakai baju Melayu siap bersongkok pula tu. Tapi, hati dia hanya tuhan sahaja yang tahu. Apa-apa pun, kenalah bersangka baik.
Alice : Ha, ada apa erk?
Lelaki B : Assalamualaikum. (ucap lelaki tu lembut)
Alice : (agak terkedu seketika) Waalaikumsalam. Kenapa awak datang nak jumpa saya?
Lelaki B : Saya…saya…
Alice : Kenapa? cakaplah..
Lelaki B : Saya jatuh cinta kat awak..
Alice : sebab?
Lelaki B : Perlukah bersebab?
Alice : Ya. Sebab saya tak pernah kenal awak, tau2 awak dah jatuh cinta..
Lelaki B : Baiklah, saya cintakan awak kerana Allah telah ciptakan perasaan cinta dalam hati saya untuk awak.
Alice : Owh. (Perempuan itu melihat jam tangannya) Maaflah, saya ada study group. Lain kali kita borak lagi.
Maka tertinggallah lelaki B keseorangan tanpa sebarang jawapan dari sang gadis itu.
Seminggu yang seterusnya, perempuan itu didatangi oleh seorang lagi lelaki iaitu “lelaki C”. Kali ini, lelaki C berpenampilan biasa dan sederhana saja.
Wajahnya juga tidaklah sekacak mana namun ada sesuatu pada wajah itu. Entahlah apa.
Perempuan itu mengukir senyuman manis untuk lelaki itu kerana dia pasti bahawa lelaki ini pasti akan bercakap benda yang sama.
Alice : Saya tau kenapa awak datang nak jumpa saya..
Lelaki C : (Termangu seketika) Awak dah tau?
Alice : Why not? Awak cintakan saya?
Lelaki C : Ya, saya menyintai awak.
Alice : (tersenyum sinis) Well, kenapa pulak? Sebab Allah telah menghadirkan perasaan cinta kat dalam hati awak untuk saya?
Lelaki C : (hanya mampu tunduk)
Alice : Kenapa diam? atau..awak jatuh cinta di sebabkan rupa saya..atau saya ni seksi..atau..saya ni anak orang berada..
Lelaki C : Demi Allah, semua itu tak betul.(Lelaki C berubah menjadi tegas). Ya, memang benar saya jatuh cinta kat awak tetapi bukan kerana Allah atau kerana kecantikan awak,
harta awak.. saya jatuh cinta disebabkan Syaitan Durjana . Syaitan yang mendorong saya untuk mengejar awak. Kemana saja awak jalan, mata saya akan mengekori awak.
Tatkala rambut ikal awak terbang ditiup angin,saya rasa perasaan saya kacau.Wajah cantik awak sentiasa datang bermain di jiwa saya pada hal saya tak menginginkannya.
Saya rasa rimas dengan perasaan saya. Saya semakin hanyut. Semakin terleka.
Alice : (terkedu) Apa awak nak?
Lelaki C : Saya tak mahukan apa-apa. Mungkin hanya sekelumit simpati. Hanya kalau awak sudi. Maafkan saya, saya mohon untuk berlalu.
Alice : Nanti dulu, siapa nama awak? Macam mana saya nak tolong awak?
Lelaki C : Nama saya, ah, tak layak saya nak beritahunya kat awak. Sesungguhnya nama yang saya pinjam ini sungguh mulia.
Saya pasti awak tau apa nak dibuat. Maafkan saya, saya tak sanggup nak berlama-lama di sini. Syaitan itu sentiasa membisikkan perkara yang jahat ke telinga manusia. Salamu’alaikum.
Alice hanya melihat langkah lelaki itu tanpa sepatah kata.
Dua tahun kemudian…
Akif merehatkan dirinya di pelantar rumah sambil menghirup udara segar pagi. Tiba-tiba dia disapa oleh ibunya.
Ibu : Akif, ibu teringin nak tengok Akif berumah tangga. Akif tak de ke pilihan hati Akif sendiri?
Akif : Entahlah ibu. Susah kita nak mencari pasangan yang betul2 berdiri di atas landasan yang teguh.
Ibu : Akif, ibu faham. Memang susah nak cari orang yang seperti itu, kalau ada pun, nisbahnya kecil. Manusia makin hanyut ditelan arus dunia.
Semakin moden, semakin lupa tanggungjawab kita sebagai muslim. Tapi Akif, kita juga boleh menjadi pengubah.
Akif : Ibu.. Akif faham. Insya Allah ibu, Akif akan cari seorang perempuan..jika dia tak seperti yang Akif harapkan, Akif yang akan membentuk dia, mengubah dia.
Akif akan cuba laksanakan permintaan ibu.
Ibu : (tersenyum) Akif, ibu rasa, ibu sudah berkenan dengan seorang gadis ini. Dia baik dan manis juga orangnya. Pekerjaannya juga mulia.
dia bekerja sebagai seorang guru di sekolah menengah agama. Ibu dah berbual-bual dengan ibu bapanya. Baik sungguh mereka itu.
Akif : Siapa dia ibu? siapa nama dia?
Ibu : Nur Alissa Zakiyyah…
Seminggu sebelum hari pertunangan. Waktu itu, Akif berada di rumah Nur Alissa Zakiyyah. Baru kali pertama Akif ke sana. Rumah yang dijejakinya ini sungguh besar dan luas.
Halamannya juga menarik bersama landskap yang begitu teratur. Bunga-bungaannya memukau mata. Suasana agak hingar-bingar. Ibu Akif berada di dalam rumah mungkin
sedang sibuk membantu mereka yang lain menyiapkan juadah makan tengah hari bersama.
Akif berjalan menuju ke suatu sudut di halaman itu namun langkahnya terhenti apabila terlihat seorang gadis bertudung hijau lembut sambil mengenakan pakaian baju kurung..
entahlah baju kurung jenis apa yang penting ianya gubahan moden seiring mengikut zaman.
Gadis itu seperti pernah dilihatnya di dalam sekeping gambar. Gambar yang diberi ibunya. Mungkinkah itu bakal tunangnya?
Akif memberanikan diri untuk menyapa gadis itu.
Akif : Assalamu’alaikum.
Alissa : Wa’alaikumsalam. (Alissa tersenyum lantas membelakangi Akif)
Akif : Awakkah Nur Alissa Zakiyyah??
Alissa : Dan awak pula Akif Rahmankan?(soal Alissa tanpa menjawab pertanyaan Akif terlebih dahulu)
Akif : ya. Akif Rahman Bin Razaq. Awak belum jawab soalan saya..
Alissa : Hum.. akhirnya…
Akif : (Akif hairan) Kenapa? Pernahkah kita bertemu atau berkenal?
Alissa : Ya.
Akif : Siapakah awak? (tanya Akif penuh kehairanan)
Alissa : Nama saya Nur Alissa Zakiyyah binti Aziz. Sayalah Alice.
Akif : (terkesima) Subhanallah. Awak dah berubah, saya langsung tak cam awak. Macam mana awak boleh jadi macam ni?
Alissa : Bukankah awak yang meminta sekelumit simpati dari saya?
Akif : Alice…(terharu..)
Alissa : Akif, saya dah jatuh cinta kat awak. Dah lama..
Akif : Sebab?
Alissa : Saya mencintai awak kerana agama yang ada pada awak…
Akif hanya tersenyum..
Wajib bagi wanita :-a. Mengekalkan malu pada suaminya.b. Merendahkan (menundukkan) mata ketika berpandangan.c. Mengikut kata-kata dan suruhannya.d. Dengar dan diam ketika suami berkata-kata.e. Berdiri menyambut kedatangannya.f. Berdiri menghantar pemergiannya.g. Hadir bersamanya ketika masuk tidur.h. Memakai bau-bauan yang harum untuk suaminya.i. Membersihkan dan menghilangkan bau mulut untuk suaminya.j. Berhias ketika hadirnya dan tinggalkan hiasan ketika tiadanya.k. Tiada khianat ketika tiada suaminya.l. Memuliakan keluarga suaminya.m. Memandang pemberian suaminya yang kecil sebagai besar dan berharga.n. Ketahuilah, syurga dan neraka bagi seorang wanita itu bergantung pada redha atau tidaknya suami padanya. 


*-Gadis melayu berniqab, ganjil?-Gadis melayu menutup aurat sepenuhnya, ganjil?-Gadis melayu melabuhkan tudung menutupi dada mereka, ganjil?-Gadis melayu mengenakan pakaian longgar dan besar, ganjil?-Gadis melayu malu untuk keluar bersama bukan mahram, ganjil?-Gadis melayu pakai stoking kaki ke mana-mana walau mandi bersama kawan-kawan di laut, ganjil?-Gadis melayu pakai stoking tangan walau dah mengenakan t-shirt lengan panjang, ganjil?-Gadis melayu meninggalkan orang yang sedang gosip dan mengata orang lain walaupun yang sedang mengata itu kawan baiknya, ganjil?-Gadis melayu tidak mengenakan mekap berlebihan, ganjil?-Gadis melayu tidak memakai perfume kecuali sekadar sangat sedikit dan tidak terhidu orang lain, ganjil?-Gadis melayu tak 'couple' sebelum nikah, ganjil?-Gadis melayu tak materialistik dan memilih kehidupan untuk taat kepada agama, ganjil?-Gadis melayu ganjil?
Sabda Rasulullah s.a.w: “Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” (H.R. Muslim).

Kuasa Ayat Kursi(Besarnya kuasa ALLAH)...





Kisah benar ini berlaku di US (Amerika Syarikat).

Ia tentang seorang wanita dari Malaysia yang bekerja di US. Dia memakai tudung dan memiliki akhlak yang bagus.

Suatu malam perempuan ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan yang diambil pula agak tersorok dan tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu.

Disebabkan hari yang agak sudah lewat, berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak gelisah dan rasa takut. Lebih-lebih lagi dia berjalan berseorangan.
Tiba-tiba dia nampak ada seorang lelaki (kulit putih Amerika) bersandar di dinding di tepi lorong itu. Dia sudah mula rasa takut dan tak sedap hati. Apa yang dia boleh buat waktu tu adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya. Dia baca ayat Kursi dengan penuh pengharapan agar Allah membantu dia di saat itu.  

Masa dia melepasi tempat lelaki itu bersandar, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib baik lelaki itu buat tidak endah dan perempuan ini selamat sampai ke rumahnya.

Keesokkan paginya, wanita ini terbaca dalam akhbar yang seorang perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat lorong yang dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut. Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih yang dia lihat semalam adalah perogol itu.

Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat aduan. Wanita ni dapat mengenalpasti suspek melalui kawad cam dan selepas siasatan dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang dicari.

Tapi perempuan ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut walhal dia keseorangan di masa tu, tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia. Wanita ini nak tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat lain).

Dia pun tanya perogol itu..

“Why don’t you do anything to me on that night even though you know that I’m alone?”

(Kenapa awak tak buat apa-apa kat saya malam tu walaupun awak tau saya seorang je masa tu?)

Perogol tu jawab:

“No, you are not alone. That night I saw two young man walking with you. One on your right side and the other one was by your left side. If you were alone of course you will be my victim.”

(Tak, awak bukan berseorangan. Malam tu saya nampak ada 2 orang lelaki berjalan dengan awak. Seorang sebelah kanan awak dan sorang lagi sebelah kiri awak. Kalaulah awak sorang-sorang malam tu, sudah pasti awak jadi mangsa saya..)

Wanita ni rasa amat terkejut bila dengar penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi yang dia baca malam itu.

Subhanallah

Wednesday 7 September 2011

19tahun umur aku !

sedOr dok sedOr 19tahun doh umur aku...detik 12malam/8,9,2011...
sebak rase hati...hermm....
tahun niem,bermula saat ini...aku berazam untuk menjadi yang lebih terbaeeekkk !
*aku akan berusaha untuk mempaiki diri untuk menjadi yang lebih sempurna dengan izinNYA...amim~
wallahu'alam....

Sunday 4 September 2011

Jatuh Cinta kerana ALLAH & Nafsu...




Jatuh yang tidak ada orang simpati ialah jatuh cinta. Sebab jatuh cinta indah, tidak macam jatuh tangga atau jatuh pokok, sakit. Cinta banyak perkara cinta.


Tidak ada siapa pun yang dapat larikan diri daripada mencintai dan dicintai. Kemuncak cinta, ada orang masuk syurga kerana cinta dan tidak kurang ramai orang yang akan dihumbankan ke neraka gara-gara cinta.


Cinta yang begaimana boleh bawa seseorang ke syurga dan kenapa ada yang masuk neraka lantaran kerana cinta?


Cinta, rasa yang ada dalam hati yang tidak boleh disukat-sukat. hati yang merasainya, sehingga boleh terhibur atau terseksa kerananya. Datangnya dari dua sumber yakni dari nafsu dan dari Allah.


Cinta yang diilhamkan oleh nafsu berlaku bila hati kotor, sering melakukan dosa dan tidak pula bertaubat. Sifat-sifat keji seperti sombong, ujub, riak, gila puji, hasad dengki dan lain-lain sifat jahat bersarang dalam hati tidak dikikis, maka ketika itu nafsulah yang akan jadi Tuhan dalam diri sehingga apa saja yang dilakukan mengikut arahan nafsu. Termasuk dalam meletakkan cinta, ukuran yang diberi dan sebab jatuh cinta pun ikut selera nafsu.


Lelaki akan jatuh cinta pada perempuan yang mendedahkan kecantikannya hingga tubuh badan perempuan itu sudah tidak terlindung lagi pada pandangan nafsunya. Cinta diberi ialah untuk mengisi keinginan nafsu seks lelaki kepada perempuan.


Begitu juga wanita, jatuh cinta sebab lelaki kaya, handsome bergaya, ada jawatan dan lain-lain keistimewaan yang disenangi oleh nafsu. lantas cinta diberi dengan harapan mereka dapat tumpang kemewahan dan kesenangan hidup lelaki tersebut. Jelasnya, cinta yang datang dari nafsu ditujukan untuk kesenangan nafsu semata-mata.


Bila bertaut dua cinta yang dilahirkan oleh nafsu yang punya kepentingan masing-masing maka berlangsunglah babak-babak melahirkan rasa cinta. Dari surat menyurat, telefon, ziarah, keluar makan-makan, berdua-duaan di taman bunga, dalam keadaan saling rindu merindukan..


Ketika itu tak ada lain dalam ingatan melainkan orang yang dicintai. Sehari tak jumpa atau tidak telefon rasa berpisah setahun. Sudah tidak malu pada orang sekeliling, apa lagi pada Allah yang Maha Melihat. Lagi mereka tidak ingat dan takut. Lantaran itu mereka sanggup buat apa saja untuk membuktikan kecintaan pada pasangan masing-masing.


Hatta yang perempuan sanggup serah maruah diri konon untuk buktikan cinta pada lelaki. Yang lelaki pula rela bergolok bergadai untuk memberikan kemewahan pada perempuan sebagai bukti cinta. Akhirnya bila yang perempuan telah berbadan dua, lelaki serta merta hilang cintanya. habis manis sepah dibuang. Kalau pada lelaki pula, ada duit abang sayang, tak ada duit abang melayang. Kalau pada suami pula, isteri seorang suami disayang, bila hidup bermadu kasih pada suami.


Itulah falsafah cinta nafsu yang melulu. Cintanya hanya selagi nafsu ada kepentingan. Cinta inilah yang banyak melanda orang muda yang dilambung asmara. Hingga sanggup buat apa saja, sekalipun bunuh diri, kalau kecewa dalam bercinta. Walhal sedap dan indahnya sekejap. Sakitnya lama, sakit yang paling dahsyat ialah di neraka kelak. Inilah kemuncak cinta yang paling malang dan memalukan.


Cinta nafsu kalau pun boleh bersambung sampai membina rumahtangga ia tetap akan menyeksa. Kerana suami akan cinta pada isteri selagi isteri masih muda, seksi dan manja. Yakni selagi nafsu dapat disenangkan. Bila isteri tua, kulit berkedut, tampal make-up lagi hodoh, rambut putih dan gigi pun sudah banyak gugur seperti opah, badan pun sudah kendur, maka cinta suami akan beralih pada gadis muda yang menarik.


Sekaligus hilanglah cinta suami. Menderitalah isteri yang hilang perhatian suami apalagi kalau terang-terang depan mata suami kepit perempuan lain, lagilah isteri terseksa. Begitu juga si isteri. Cintakan suami selagi suami boleh membahagiakan dan menunaikan segala keinginan nafsu. Selagi suami kasih dan sayang padanya.


Andainya suami hilang kuasa, jatuh miskin, masuk penjara atau suami kahwin lagi seorang maka serta merta hilang cinta pada suami. Sebaliknya berbakul-bakul datang rasa benci pada suami yang dulu dipuja tinggi melangit. Begitu mudah cinta bertukar jadi benci. Akibatnya berlakulah pergaduhan, masam muka, kata-mengata, ungkit mengungkit, suami tidak pedulikan isteri dan isteri pun hilang hormat pada suami.


Rumahtangga panas dan menunggu saat untuk ditalqinkan ke kubur perceraian. Ketika itu tak ada lagi pujuk rayu, cumbu mesra sebagaimana waktu cinta tengah membara. Maka doktor yang menulis pun dituduh merendahkan wanita, jangan marah tau. Itulah gara-gara cinta nafsu yang sudah menyusahkan manusia di dunia lagi.


Sebaliknya cinta yang dialirkan oleh Allah ke dalam hati, itulah cinta yang benar, suci lagi murni. Cinta yang bukan diukur ikut pandangan mata, tapi ikut pandangan Allah. Ia bersebab kerana Allah dan cinta diberi pun untuk dapat keredhaan Allah. Cinta begini tiada batasannya. Tidak pula kenal jantina dan kedudukan. Dan cinta lahir hasil dari sama-sama cinta pada Allah.


Boleh berlaku pada lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, lelaki dengan perempuan, antara murid dengan guru, suami dengan isteri, sahabat dengan sahabat, rakyat dengan pemimpin, antara umat dengan Nabinya dan yang paling tinggi antara hamba dengan Tuhannya.


Kalau berlaku antara lelaki dengan perempuan yang tidak diikat oleh tali perkahwinan, mereka tak akan memerlukan untuk berjumpa, bercakap atau melakukan apa saja yang bertentangan dengan kemahuan Allah. Cinta mereka tidak akan dicelahi oleh nafsu berahi.


Sebaliknya cinta itu ialah tautan hati yang berlaku walaupun tak pernah kenal atau baru kenal tapi hati rasa sayang dan rindu. Hati sedih kalau orang yang dicintai ditimpa susah, senang kalau yang dicinta itu senang. Sanggup susah-susahkan dan korbankan diri untuk senangkan orang yang dicintai.




Cinta yang begini ada diceritakan dalam hadis, iaitu seorang lelaki yang bertemu dan berpisah dengan sahabatnya kerana Allah maka mereka akan mendapat perlindungan ‘arasy Allah di padang mahsyar nanti, hari di amana masing-masing orang mengharap sangat lindungan dari matahari yang sejengkal saja dari
kepala.


Kalau berlaku antara suami isteri maka isteri akan letak seluruh ketaatan pada suami, berkhidmat dan melayan suami tanpa jemu-jemu. Sama ada waktu suami tunjukkan sayang atau masa suami marah-marah.


Sama ada suami kaya atau miskin, atau suami kahwin lagi, cinta isteri pada suami tidak belah bagi. salah satu contohnya penderitaan mengundang bahagia. Kerana cintanya pada suami datangnya dari Allah hasil dari ketaqwaan isteri. Datanglah ribut taufan, angin putting beliung melanda rumah tangga, isteri tetap memberikan cintanya yang utuh dan teguh.


Begitu juga suami, cinta pada isteri tidak kira isteri itu muda atau tua. Samada pada hatinya. Selagi isteri taat pada Allah, isteri tetap dikasihinya. Kalau dia ada empat isteri, tentulah isteri-isteri akan tertanya-tanya, pada isteri manakah yang suami paling cinta?


Kalau cinta itu bersumber dari Allah, tentu isteri yang paling taqwalah yang paling layak dicintai oleh suami lebih dari isteri-isteri lain. Sebagaimana Rasulullah lebih mencintai Aisyah kerana taqwa Aisyah lebih tinggi dari istei-isteri lain. Rasulullah saw akui sendiri hanya bersama Aisyah saja, dalam satu selimut baginda pernah diberi wahyu. Tapi tidak pernah berlaku semasa baginda satu selimut dengan isteri-isteri yang lain.