...syukran...

Sunday 18 December 2011

Perempuan.Tahukah kamu bahawa kamu itu sangat mahal?


Ketahuilah bahawa, makhluk yang paling saya sayangi di atas dunia ini adalah perempuan.
Percaya? Saya bukan nak main gula-gula di sini. Tetapi saya serius menyatakannya. Ketahuilah bahawa, makhluk yang paling saya sayangi di atas dunai ini adalah perempuan.
Mengapa?
Jika yang lelaki bertanya, saya mungkin memahami. Tetapi perempuan, jika kamu yang bertanya, maka saya kehairanan.
Apakah kamu tidak tahu megapa saya sayangi kamu? Adakah kamu tidak menyedari betapa istimewanya kamu?
Aku dari rahim seorang perempuan
Kalau difikirkan semula, tiada lelaki yang dilahirkan selain dari rahim ibu melainkan Nabi Adam AS. Perhatikanlah Sultan, pemerintah, perdana menteri, laksmana, tentera, pegawai, jurutera, doktor, doktor falsafah, genius, semuanya dilahirkan dari perut seorang perempuan.
Saya, dari rahim seorang perempuan juga.

Tiada manusia dilahirkan hebat. Mereka semua dilahirkan sebagai manusia biasa. Tetapi biasanya manusia-manusia hebat ini mempunyai ibu yang hebat di sisi mereka. Yang mendidik dan memberikan suasana kepada mereka semenjak kecil.
Mengapa pula saya tidak menyayangi perempuan? Mengapa pula saya tidak mengambil berat terhadap mereka? Dari rahim mereka lahirnya pewaris masa hadapan!
Sekiranya saya membiarkan perempuan rosak, dirosakkan, merosakkan diri mereka, maka sama sahaja dengan saya membiarkan masa hadapan dunia hancur, gelap, kelam dan hitam.
Jangan lupa, dari rahim perempuan juga lahirnya penderhaka, penjenayah, perogol, pencuri, yang ingkar kepada Allah, pembohong, dan banyak lagi manusia-manusia yang mencorakkan dunia dengan kehitaman. Hatta Barrack Obama  juga lahir dari perut seorang perempuan.
Sekiranya perempuan yang menggendong masa hadapan dunia selama 9 bulan 9 hari ini rosak, di mana masa hadapan dunia?
Mustahil saya tidak menyayangi perempuan. Maka tiadalah harapan yang saya inginkan, melainkan perempuan juga menyayangi diri mereka dan menjaga peribadi mereka daripada perkara yang Allah larang dan murka.
Perempuan sayap kiriku
Saya hendak berkahwin dengan siapa? Mustahil dengan lelaki. Baik macam mana pun saya dengan mereka, mustahil saya akan berkahwin dengan mereka.
Saya akan berkahwin dengan seorang perempuan.
Mustahil saya tidak menyayangi kaum ini. Yang menjadi isteri-isteri dan pendamping kepada lelaki. Yang menjadi pengawal kepada segala rahsia seorang lelaki. Yang menjadi guru kepada anak-anak seorang lelaki. Yang menjadi penenang dan penyejuk mata serta pendamai jiwa seorang lelaki.
Kestabilan seorang perempuan, menjamin kestabilan seorang lelaki.
“Apabila enta bangun tidur dan melihat isteri enta di sebelah, enta akan merasakan keajaiban penciptaan Allah SWT” ~ Pakcik Rosdi. Dan dia berkata dalam keadaan tersenyum. Hidupnya bahagia dengan ketenangan isterinya: Cikgu Maimunah
Maka mustahil saya hendak membiarkan perempuan rosak, dirosakkan atau merosakkan diri mereka sendiri. Kerana mereka adalah penjaga-penjaga lelaki di satu sisi. Suami-suami memerlukan isteri-isteri yang solehah, yang baik, yang taat kepada Allah dalam rangka hendak membangunkan ummah.
Tidak dinafikan isteri-isteri juga memerlukan suami-suami yang baik. Tetapi bukan sedikit lelaki yang berubah kerana cinta seorang perempuan. Maka mengapa perempuan tidak mempersiapkan diri mereka lebih sedikit untuk mengubah seorang lelaki dengan cinta?
MasyaAllah.
Saya amat menyayangi perempuan. Maka tiadalah harapan saya melainkan perempuan menyayangi diri mereka sendiri. Menjaga diri dari kerosakan. Menjaga diri dari kemungkaran. Mempersiapkan diri menjadi hamba Allah yang taat. Buat apa yang disuruh, meninggalkan apa yang dilarang.
Maka amat menyedihkan saya jika…
Bila sayang, akan datang ambil berat. Semestinya demikian. Saya amat hairan kalau seseorang itu menyatakan sayang kepada si fulan: “Aku sayang sangat dengan kau” kemudian dia melemparkan si fulan itu ke dalam api. Mustahil itu adalah sayang.
Maka kerana sayang itu jugalah saya akan terluka apabila melihat perempuan-perempuan berkeliaran tanpa menutup aurat. Kerana sayang itu jugalah saya akan tercedera apabila melihat ada perempuan-perempuan tidak menjaga maruah mereka dan berpeleseran dengan lelaki tanpa segan silu. Kerana sayang itu jugalah saya akan terasa apabila melihat perempuan-perempuan menayangkan akhlak buruk mereka. Kerana sayang itu jugalah saya akan tercucuk dengan perempuan yang tiada rasa malu pada diri mereka.
Kalaulah perempuan tahu bahawa mereka memegang nasib dunia. Mereka bakal ibu dan isteri. Ibu kepada anak dan isteri kepada suami. Nyatakan kepada saya bagaimana mereka ini tidak memberikan kesan kepada dunia? Semestinya mereka ini memberikan kesan. Dan kesan yang diberikan oleh kamu wahai perempuan, bukannya sedikit bahkan besar.
Sudah wujud di dalam sejarah, kerajaan hebat jatuh kerana seorang perempuan. Sudah wujud di dalam sejarah, abid hebat jatuh kerana seorang perempuan.
Sebab itu saya sangat menyayangi perempuan dan sering memikirkan mereka.
Apakah perempuan-perempuan memikirkan diri mereka sendiri?

Penutup:
Jika sayang ini tidak berbalas, tidak mengapa. Tetapi…
Jika sayang ini tidak berbalas, tidak mengapa. Bukan tujuan saya menulis artikel ini untuk disayangi perempuan. Tetapi tujuan saya menulis artikel ini untuk perempuan menyayangi diri mereka sendiri.
Maksud sayang pada saya adalah = Hendak masuk syurga bersamanya.
Maka kalau tak nak masuk syurga dengan saya, at least kamu kena lah rasa hendak masuk syurga dengan diri kamu wahai perempuan. Maka jagalah diri, persiapkan peribadi. Kamu pemegang masa hadapan dunia. Dan tiada yang memberikan kesan lebih besar terhadap dunia selain kamu wahai perempuan.
Kalaulah kamu tahu betapa sejuknya mata ini melihat perempuan-perempuan yang berakhlak. Kalaulah kamu tahu betapa senangnya jiwa ini melihat perempuan-perempuan yang pemalu. Kalaulah kamu tahu betapa seronoknya kalbu ini melihat perempuan-perempuan yang menutup aurat. Kalaulah kamu tahu betapa tenangnya diri ini melihat perempuan-perempuan yang menjaga batas pergaulan.
Wahai perempuan, tidakkah kamu memandang diri kamu berharga?
Maka jangan murahkan.
Siapkan dirimu untuk menggoncang masa hadapan dengan keimanan dan ketaatan.
Bukan dengan kehancuran dan kerosakan.
Sungguh, saya merayu di sini. Agar kamu mencintai diri sendiri.



by :aku.islam.com

Saturday 10 December 2011

Gerhana itu Petanda Kiamat !!!


Firman Allah dalam ayat 6-13 surah al-Qiamah :

Maksudnya : Dia bertanya (secara mengejek): “Bilakah datangnya hari kiamat itu?” Maka (jawabnya: hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi berpinar-pinar (kerana gerun takut), Dan bulan hilang cahayanya, Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama, (Maka)pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): “Kemanakah hendak melarikan diri?” Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan! Pada hari itu, kepada Tuhanmu lah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara.

Apabila tibanya gerhana maka akan mundar-mandirlah Rasulullah SAW dalam keadaan khuatir yang amat sangat kerana kerisauan baginda saw terhadap fenomena yg berlaku.
Tergambar kerisauan di wajah baginda terutama kepada umatnya..baginda risau dengan persoalan adakah umatnya tahu bahawa gerhana itu salah satu petanda berlakunya kiamat.
Setiap kali tibanya gerhana Rasulullah S.A.W akan cepat-cepat mendirikan solat gerhana agar gerhana itu cepat-cepat berlalu kerana jika Allah SWT mengkehendaki menahan / melanjutkan tempoh gerhana itu sehingga ke tempoh yg Dia tetapkan kemudian Dia arahkan ia (bumi/matahari/bulan) bergerak setentang dgn kebiasaan maka huru haralah umat manusia kerana tertutupnya pintu taubat...

Gerhana bulan penuh dengan pemandangan seakan-akan bola raksasa kuning tembaga terapung di angkasa selama lebih 40 minit dijangka berlaku pada malam 10 Disember ini.

Unit Falak Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam satu kenyataan hari ini berharap orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena itu dan melakukan solat sunat gerhana.

"Gerhana kali ini berlaku pada awal malam. Meriahkanlah fenomena ini dengan bacaan selawat dan tasbih serta solat sunat gerhana di masjid.

"Kejadian itu amat besar hikmatnya supaya manusia melihat dengan jelas tanda-tanda kekuasaan Allah dan memanfaatkannya dari segi rohani dan kajian saintifik," jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut bahawa melalui paparan takwim pada petang Sabtu (10 Disember), bulan terbit di ufuk timur Kuala Terengganu pada pukul 6.44 petang, kira-kira 12 minit sebelum matahari terbenam.

Bulan yang beredar dengan had laju relatif 1,800 kilometer sejam akan mula memasuki zon bayang luar bumi pada kira-kira pukul 7.33 malam.

Bayang bumi akan mula menyentuh sisi sebelah kanan bulan tepat pukul 8.46 malam menandakan permulaan fasa gerhana bulan dan masa yang diambil oleh bayang gelap itu untuk menyapu keseluruhan muka bulan hanya 75 minit.

"Selepas itu bulan akan mengalami gerhana penuh selama kira-kira 48 minit, kelihatan seperti sebiji bola raksasa berwarna kuning tembaga kerana kesan serakan cahaya dari kawasan bayang luar," jelas kenyataan itu lagi.


Peringkat pertengahan gerhana penuh itu dihitung berlaku pada pukul 10.32 malam ketika ketiga-tiga jasad samawi iaitu bulan, bumi dan matahari berada dalam kedudukan satu garisan dan satu satah.

"Ia menandakan fasa purnama Muharam 1433 Hijrah yang sama dengan kemuncak gerhana penuh dan jangkamasa bulan melewati kawasan bayang dalam bumi ialah selama tiga jam 22 minit sehingga gerhana berakhir pukul 12.18 pagi," jelas kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, solat sunat gerhana bulan di negara ini boleh dilakukan sebaik sahaja bayang bumi mula kelihatan di permukaan bulan iaitu kira-kira pukul 8.46 malam.



#same2lah kita berdoa dan solat sunat gerhana.wallahu'alam .

Saturday 3 December 2011



Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa”. Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka). Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”. [7:164-166]

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. [13:11]

Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. [2:216]

“Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. [21:87]

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. [49:6]

Rasulullah SAW bersabda: "Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api". -H.R. Tirmidzi-

Rasulullah SAW bersabda: "Sedekah tidak akan mengurangi harta seseorang. Seseorang yang pemaaf, Allah menambahkan kemuliaan baginya. Dan seorang yang tawaduk (merendahkan diri) kepada Allah, maka Allah menaikkan darjatnya." -H.R. Muslim-

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan diciptakan daripada api, api dipadamkan dengan air, oleh itu apabila marah salah seorang daripada kamu hendaklah berwudhu." -H.R. Abu Daud-

Sabda Rasulullah: “Aku peringatkan kepada kalian tentang prasangka, kerana sesungguhnya prasangka adalah perkataan yang paling bohong, dan janganlah kalian berusaha untuk mendapatkan informasi tentang keburukan dan mencari-cari kesalahan orang lain, jangan pula saling dengki, saling benci, saling memusuhi, jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara” -H.R Bukhari-

Bersabda Rasulullah s.a.w: “Wahai sekelian yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman tidak masuk ke dalam hatinya, jangan kamu mengumpat kaum muslimin, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesiapa yang mencari-cari keaiban kaum muslimin, maka Allah akan mencari keaibannya. Sesiapa yang Allah cari keaibannya, maka Allah akan mendedahnya sekalipun dirumahnya. -H.R. Abu Daud dan Ahmad-

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim” -H.R. Bukhari-

Nak Jadi BAIK memang Lambat .


"Ustaz, saya dulu hafiz al-Quran. Dulu, solat ini memang saya tidak tinggal. Saya semakin hanyut dengan dunia. Sekarang, saya sudah tidak solat. Saya ingin berubah. Masih adakah sinar untuk saya?"
Ustaz A memandang telefon bimbit Masjid Kuning Kota Damansara. Bagus masjid ni. Ada segmen Tanyalah Ustaz. Sesiapa jemaah yang ingin bertanya, boleh menghantarkan SMS.
"Masih ada sinar" Ustaz A menjawab pendek.
Jemaah mengangguk. Kebanyakannya faham sifat al-Ghafur Allah. Jemaah di situ memang boleh letak belakang nama mereka dengan Ahmad atau Abu al-Damansari. Berlumba-lumba duduk di dalam taman-taman Syurga ilmu. Marvellous!
Ustaz A menyambung, "Kembalilah kepada Allah, nak. Allah menciptakan rahmat sebelum menciptakan murka. Pintu taubat terbuka luas. Sibukkan diri dengan kebaikan. Jika anda jatuh, maknanya, masa anda masih banyak yang belum diisi dengan kebaikan."
"SMS masuk, Pak" Telefon Bimbit Tanyalah Ustaz berbunyi lagi.
"Terima kasih, Ustaz. Macam mana nak jadi baik? Apa langkah pertama untuk saya berubah selepas bertaubat?"
Ustaz A tersenyum. "Pernah tidak dengar kisah Abu Hurairah r.a. bertanya kepada baginda Rasulullah s.a.w. tentang seorang yang solat tetapi masih mencuri?"
Jemaah terlopong. Sah, tak dapat nak recall. Ini yang pentingnya hadir di ceramah-ceramah dan kuliah. Dapat peringatan, dapat refresh ilmu, dapat kesedaran. Dapat macam-macam. Best!
Ustaz A menarik nafas dan berkata, "Abu Hurairah r.a. bertanya bagaimanakah orang yang sedemikian? Rasulullah menegaskan, solat orang itu lambat laun akan menyebabkan dia berhenti mencuri."
Jemaah mengiyakan. Mereka teringat firman Allah s.w.t bahawa solat akan mencegah perkara keji dan mungkar.
"Maksud baginda Rasulullah s.a.w. dengan memperbaiki dan meningkatkan mutu solat, dari segi rukun qauli (percakapan), rukun fi'li (perbuatan) dan rukun qalbi (rasa hati), lambat laun solat akan berjaya menjadi benteng kepada amalan keji dan mungkar."
Jemaah berpandangan sesama sendiri. Mereka tersenyum dan mengangguk.
"Kesimpulannya, nak jadi baik memang lambat. Nak membina memerlukan masa. Nak meruntuh sekelip mata. Teruskan bermujahadah untuk istiqamah. Tutup ruang-ruang untuk melakukan kemaksiatan. Isi kehidupan dengan kebaikan. Berkawan dengan kawan-kawan yang baik. Usaha dan terus usaha. Insya-Allah, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita."

Dalam jemaah itu, seorang anak muda tunduk. Matanya berkaca. Dia berbisik:

Ya Allah, dosaku menggunung tinggi, tapi rahmat-Mu melangit luas. Ampunkanlah dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat.



-Artikel Iluvislam.com